Dalam penghakimannya, Wan Mahyuddin mengemukakan 10 alasan bagi mengenakan hukuman itu ke atas tertuduh, antaranya:
- Sebagai dakwah kepada tertuduh dan orang awam supaya tidak melakukan perbuatan yang dilarang agama;
- Sebagai orang Islam, tertuduh sepatutnya menjadi contoh kepada pasangannya yang bukan Islam;
- Berdasarkan fakta kes, tertuduh dan pasangan mempunyai niat kerana ketika ditangkap Ako hanya berseluar pendek dan tidak berbaju; dan
- Perbuatan berkhalwat itu boleh menjurus kepada zina dan jika ia dibiarkan berleluasa tanpa pencegahan awal, lebih ramai lagi akan melakukannya tanpa perasaan bersalah.
Mahkamah juga mengambil kira kegagalan tertuduh untuk hadir menghadapi tuduhan itu sejak kesnya disebut pertengahan tahun lalu sehingga pada 22 Januari lalu.Selepas waran tangkap dikeluarkan, baru tertuduh hadir. Perbuatan tertuduh ini dianggap menghina mahkamah kerana tertuduh mengetahui bahawa dia akan dihadapkan ke mahkamah bagi mendengar pertuduhan khalwat."Jika hukuman ringan diberikan, kesalahan ini akan dianggap remeh oleh masyarakat dan akan menjadi ikutan kerana tertuduh seorang pelakon," katanya.
Ako yang popular menerusi drama Sephia dan Kapten Boleh, didakwa berkhalwat dengan Anang Sagunting, 25, jam 1.20 pagi di rumah beralamat Blok B-2-9 Oakleaf Park Kondominium, Persiaran Bukit Antarabangsa daerah Gombak, pada 27 Jun 2007.
Pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor No 9 Tahun 1995, yang boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Zuri Zabuddin ketika mengemukakan permohonan penangguhan hukuman berkata, anak guamnya benar-benar menyesal dan insaf atas perbuatan itu, malah Ako kini perlu menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami kepada Kartina Shuaib Abdullah, 27, yang dinikahinya pada 17 Januari lalu.
"Isteri anak guam saya hanya seorang suri rumah tangga dan pemohon adalah penanggung tunggal keluarga. Jika hukuman penjara dikenakan, ia akan menjejaskan punca pendapatannya sebagai pelakon," katanya.
Ketika membenarkan penangguhan hukuman penjara itu, Wan Mahyuddin memerintahkan Ako memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dalam 14 hari.
Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan penangguhan denda RM3,000 dan mengarahkan tertuduh membayarnya, semalam kerana tiada sebarang sebab munasabah untuk menangguhkannya. Ako yang ditemui di luar mahkamah, pada awalnya mengelak untuk ditemubual wartawan, tetapi selepas diasak dia mengakui terkejut dengan keputusan mahkamah. "Saya terkejut dan masih dalam proses menerima hakikat," katanya. Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Zusyarafain Yusof.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan